Friday, July 12, 2019

Memilih cempedak

TIP PILIH BUAH CEMPEDAK YANG MANIS, SEDAP & SEMPURNA
T.me/cookeatlove123
1. KULIT SEMPURNA
Perkara pertama yang perlu dilihat masa pilih buah cempedak ialah keadaan kulinya. Pilih buah yang berkulit elok tanpa ada lubang atau kesan gigitan serangga atau haiwan. Ini kerana dibimbangi isi cempedak tidak elok, masam serta berulat.

2. BUAH BERWARNA KUNING
Cempedak yang masak serta matang mempunyai kulit yang berwarna kuning kehijauan. Jika warna cempedak yang dijual masih banyak hijau berbanding kuning, elakkan yang sedemikian kerana isi dalamnya pasti belum masak sempurna dan mempunyai rasa hambar. Selain warna kulit, lihat juga keadaan tangkainya. Pilih buah yang tangkainya berwarna coklat kerana ia menunjukkan buah tersebut berkualiti bagus.

3. DURI TUMPUL & MELEBAR
Masa pilih buah tu, sentuh permukaan kulit cempedak dan lihat durinya. Kalau duri cempedak tu rasa tumpul dan bentuk dia melebar, maksudnya buah tu memang dah masak. Cara ni juga anda boleh guna untuk buah nangka.

4. TEKAN KULIT
Selain merasa duri, anda juga boleh tekan kulit cempedak perlahan-lahan. Jika masih keras atau tak berapa boleh ditekan, ia menandakan buah masih muda. Sebaliknya pilihlah buah cempedak yang bila ditekan, kulitnya lembut dan seakan empuk.

5. BAU WANGI
Sama seperti durian, cempedak yang masak serta manis boleh dicari menerusi baunya. Kena buah yang elok, dari jauh dah boleh bau kemanisannya. Sebenarnya cempedak yang separuh matang juga mengeluarkan aroma. Cuma bezanya, cempedak yang betul-betul masak mengeluarkan bau yang sangat kuat. Oleh itu, masa pilih buah, jangan ambil yang wangi sahaja. Kena pilih yang betul-betul wangi tau. Barulah puas hati!

6. PILIH BUAH BERAT
Disebabkan harganya yang mahal, ramai yang memilih buah yang kecil dan sedikit ringan. Hati-hati! Kerana anda berkemungkinan beli buah yang kosong dan tidak berisi. Sebaliknya, pilihlah buah yang berat dan ada ciri-ciri seperti diatas. Barulah puas hati dengan isinya.

Buah cempedak ni beli mahal kan? Jadi, selain dimakan isinya, kulitnya jangan dibuat. Boleh buat Jeruk Kulit Cempedak atau dikenali juga sebagai mandai. Goreng dengan cili dan bawang memang sedap!

CARA MENJERUK KULIT CEMPEDAK @ MANDAI

BAHAN-BAHAN MENJERUK MANDAI:

1 biji cempedak bersaiz sederhana
Air masak suam secukupnya 
3 sudu makan (penuh) garam 
Bekas atau botol bersih | untuk menjeruk mandai

CARA MENJERUK:

1. Belah buah cempedak dan keluarkan isinya.

2. Kemudian bersihkan kulit cempedak dengan membuang bahagian durinya dan hanya bahagian isi putih sahaja diambil.

3. Potong kulit cempedak berbentuk kiub dan cuci bersih. Toskan.

4. Gaul kulit cempedak dengan garam hingga rata. Kemudian masukkan ke dalam bekas atau botol bersih.

5. Tuang air masak suam hingga kulit cempedak tenggelam. Tutup botol dengan penutup.

6. Simpan jeruk mandai di tempat gelap dan terlindung dari matahari dan peram selama seminggu sebelum dinikmati.

CARA MEMASAK JERUK MANDAI

BAHAN-BAHAN:
1 cawan mandai @ jeruk kulit cempedak yang dihiris nipis
1 biji bawang besar | hiris
2 ulas bawang putih | hiris
1 biji cili hijau | hiris
1 biji cilimerah | hiris
10 biji cili padi hijau | hiris (boleh diabaikan)
1 genggam ikan bilis | dibersihkan & rendam sekejap
CARA MEMASAK:
Keluarkan secukupnya kulit cempedak @ mandai jeruk tadi, cuci bawah air paip dan perah airnya.
Hiris nipis dan goreng hingga agak-agak garing. Ketepikan.
Ikan bilis ditoskan dan goreng hingga garing. Ketepikan.
Tinggalkan kurang lebih 4 sudu makan minyak dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga layu.
Masukkan hirisan cili merah, cili hijau dan cili padi. Kacau rata dan masak sekejap.
Tambah mandai yang digoreng garing tadi, gaul rata dan masukkan ikan bilis goreng.
Kacau dan masak sekejap hingga kering. Rasa dan jika perlu, baru tambah sedikit garam.
Angkat dan boleh hidangkan dengan nasi panas.

CARA BANCUH TEPUNG UNTUK MASAK CEMPEDAK GORENG
BAHAN-BAHAN:
1 bungkus tepung beras cap gajah
5 sudu makan tepung ubi
2 biji telur – dipukul
2 sudu teh serbuk kunyit
3 sudu teh garam
2 sudu makan gula
Sedikit air kapur
Air secukupnya
CARA PENYEDIAAN:
1. Satukan semua bahan diatas dan tuang air sedikit demi sedikit sambal dibancuh.
2. Pastikan adunan tidak terlalu cair. Adunan terbaik adalah yang mempunyai tekstur sedikit pekat supaya  cempedak mudah disalut tepung.
3. Panaskan minyak dengan banyak dan goreng hingga garing dan kekuningan.
4. Angkat, toskan minyak. Sedia untuk dinikmati.

No comments:

Post a Comment