Tuesday, March 20, 2018

Petua menyediakan juadah telur

Tip & Trik Penyediaan Menu Telur
👨🏻‍🍳👩🏻‍🍳

Langkah demi langkah dalam menghasilkan hidangan telur sempurna setiap kalinya.

Telur adalah menu murah pilihan penduduk dunia kerana ia kaya protein dan boleh dipelbagaikan dalam hidangan. Walaupun menu berasaskan telur kelihatan mudah disediakan, tetapi ada masanya ia tidak menjadi seperti yang diharapkan. Berikut adalah tip menghasilkan menu telur terbaik yang boleh dijadikan panduan:

TELUR REBUS
Tutup api dapur sebaik sahaja air rebusan mendidih dan biarkan proses kematangan telur berlaku di dalam air tersebut. Tahap kematangan telur selepas itu adalah seperti berikut:

Dua minit setelah air mendidih – putih telur tidak masak sepenuhnya dan kuning telur masih mentah.

Empat minit setelah air mendidih – putih telur sudah masak manakala kuning telur padat di bahagian luar, namun masih berair di dalam.

Enam minit setelah air mendidih – bahagian putih dan kuning telur hampir masak sepenuhnya, tetapi agak lembik sedikit di bahagian tengah.

Lapan minit setelah air mendidih – putih dan kuning telur telah masak tetapi masih lagi lembut.

10 minit setelah air mendidih – putih dan kuning telur masak sepenuhnya.

TELUR DADAR
Cara terbaik menyediakan telur dadar yang garing di luar dan kekal lembut di dalam memerlukan tiga bahan iaitu – tiga telur, setengah sudu besar sos ikan dan satu cawan minyak untuk menggoreng. Tuangkan minyak ke dalam kuali dan pastikan minyak benar-benar panas untuk dapatkan telur yang garing. Sementara menunggu minyak panas, pecahkan telur ke dalam mangkuk dan masukkan sos ikan, pukul hingga sebati. Tuang telur ke dalam kuali dan kecilkan api dapur agar telur tidak cepat hangit. Setelah bahagian bawah telur bertukar keperangan dan agak garing, balikkan telur tersebut dan bila bahagian tersebut telah masak bolehlah diangkat.

TELUR HANCUR
Cara terbaik menghasilkan telur hancur yang gebu adalah dengan menggunakan enam telur. Pecahkan kesemuanya ke dalam mangkuk, masukkan secubit garam dan pukul dengan menggunakan garpu hingga sebati. Panaskan kuali dengan api yang kecil, masukkan setengah sudu besar mentega. Tuang telur ke dalam kuali dan tunggu hingga telur kelihatan agak kental, tolak daripada tepi kuali menggunakan spatula ke bahagian tengah kuali. Lakukan secara berulang hingga semua bahagian masak dan inilah kunci untuk dapatkan telur hancur yang gebu, lembut dan tidak nipis. Seterusnya, balik-balikkan telur dan tabur sedikit lada sulah sebelum dihidang.

http://t.me/cookeatlove123

POACHED EGG
Ada dua cara memasak poached egg untuk juadah Melayu iaitu pertama – setelah kuah masak lemak mendidih, kecilkan api dapur, pecahkan telur itik dan lepaskan perlahan-lahan ke dalam periuk berisi kuah tersebut. Jangan dikacau dengan senduk, cukup sekadar renihkan sehingga masak menggunakan api yang kecil.

Cara yang kedua – masukkan air ke dalam periuk dan campurkan dengan sedikit cuka makan, didihkan dengan api yang kuat. Setelah menggelegak, kecilkan api dan pecahkan telur itik satu persatu. Setelah telur itik masak, angkat dan barulah dimasukkan ke dalam kuah masak lemak.

Selain itu, ada juga dua cara lain dalam menghasilkan poached egg untuk menu sarpan iaitu pertama – didihkan air di dalam periuk, kemudian kecilkan api. Buat putaran air dengan mengacau menggunakan sudu, pecahkan telur ke dalam mangkuk kecil dan lepaskan telur perlahan-lahan ke dalam periuk. Dengan cara ini telur akan terbentuk cantik. Setelah tiga minit bolehlah diangkat.

Cara kedua pula – gunakan plastik (cling plastic), sapu minyak masak dipermukaan plastik tersebut dan sumbat ke dalam mangkuk kecil. Pecahkan telur serta simpulkan plastik tersebut dan masukkan ke dalam periuk berisi air panas. Selepas tiga minit, angkat dan buka simpulan plastik untuk dihidang.

Tip oleh: Chef Hafizah Yahaya, Chef & Penulis Buku Masakan

No comments:

Post a Comment